Ujian hadiah dari illahi
Cuba kita renungkan fenomena alam yang sedang terjadi kini di Malaysia. Januari lalu, kita berhadapan cuaca yang sangat sejuk berbanding suhu sebelum ini. Sehinggakan terdapat di beberapa buah kawasan yang masyarakatnya terpaksa memakai pakaian tebal untuk melakukan aktiviti di luar rumah. Suhu terendah yang sesetengah kawasan capai adalah 2 darjah Celsius(⁰c).
Namun masuk sahaja bulan Februari, kita berhadapan pula dengan suhu cuaca yang agak tinggi berbanding suhu-suhu sebelum ini sehingga mencapai 45⁰c. Suhu-suhu extrem ini jarang berlaku di kawasan khatulistiwa yang di kategorikan sebagai kawasan yang lembap sepanjang tahun.
Apakah punca sebenar berlakunya suhu extrem di Malaysia ini?
Marilah kita berfikir sejenak…
Allah berfirman dalam surah as-Syura, ayat 30 yang bermaksud:
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari kesusahan (bala bencana) maka disebabkan oleh apa yang telah kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian dari dosa kamu.”
Secara terang Allah SWT menyampaikan kepada kita bahawa bencana dan bala yang menimpa adalah disebabkan atas perbuatan dosa yang kita lakukan sebagai penghapus dosa bagi hambaNYA yang terpilih.
Bencana seperti kemarau, demam denggi, tanah runtuh, jerebu dan banjir tidak akan terjadi melainkan atas kehendak Allah dan juga atas kelalaian manusia untuk memelihara alam ini sebaiknya. Justeru itu Allah hadirkan sedikit kesengsaraan dan penderitaan agar manusia itu kembali kepada Allah swt Tuhan sekelian alam.
Dosa yang manusia lakukan bukan sahaja bermaksiat, rasuah, mencuri, membunuh dan sebagainya. Malah lebih teruk daripada itu, kebanyakan manusia sekarang bertindak atas dasar nafsu semata-mata. Mengamalkan Islam hanya kepada perkara yang disukai nafsu seperti Muslim Moderate, Sister In Islam (SIS) dan sebagainya, juga digolongkan dalam kalangan mereka yang sedang melakukan kehancuran terhadap bumi ini. Pemikiran-pemikiran sesat seperti fahaman Liberalisme, Pluralisme, hedonisme dan segala macam isme yang wujud adalah punca terbesar kebanyakan manusia semakin jauh daripada Allah SWT. Tindakan puak-puak pemikiran isme ini bukan ingin memurtadkan ummat Islam secara terang tetapi mereka berusaha untuk memesongkan umat Islam secara senyap. Inilah dinamakan penyembahan berhala nafsu. Apabila manusia telah mula lupa Allah SWT secara total, maka murka Allah pasti mengiringi.
Kalau umat terdahulu mereka dilalaikan Allah SWT dengan penyembahan berhala yang dibuat sendiri. Umat manusia sekarang dilalaikan Allah SWT dengan penyembahan berhala ideologi yang dicipta mengikut hawa nafsu semata tanpa berpandukan wahyu. Penyembahan berhala zaman kini adalah secara tersembunyi ibarat angin sepoi yang bertiup pada sehelai tisu yang nipis diatas meja yang licin.
Masih ramai lagi manusia yang masih leka dan lalai dalam menikmati dunia yang sementara ini. Sedangkan Allah SWT telahpun merakamkan di dalam kalamNYA Surah Al-Imran, Ayat 185:
“ Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
Banyak petunjuk yang Allah SWT telah berikan tetapi manusia tetap lalai dan leka sehingga ada dalam kalangan mereka ingin melaksanakan Pesta Seks Sonsang di dalam Malaysia. Apa sudah jadi dengan Malaysia ini? Adakah mereka sedang menempah bala yang lebih besar? Na`uzubillahi Min zalik. Kalau kelompok itu sahaja yang terima tidak mengapa. Bala Allah SWT bukan sahaja hanya tertimpa kepada orang-orang tertentu, ia akan turun serentak samada orang itu terlibat ataupun tidak dengan kemaksiatan yang orang lain lakukan.
Wahai manusia sedarlah akan hakikat kehidupan ini,
Dunia sentiasa berputar bersama taqdir Allah SWT,
Hayatilah semula semua cerita-cerita ummat terdahulu,
Yang terkandung di dalam Al-Quran,
Bala melanda diluar pengetahuan manusia,
Diatas kekotoran tangan-tangan manusia pendosa,
Kaum Nabi Luth,
Bumi diterbalik berasbabkan seks songsang,
Kaum Nabi Saleh (Tsamud),
Bongkak dengan kekayaan dan kemewahan hidup,
Halilintar memanah memusnah semua yang berpaling,
Kaum Nabi Hud (Kaum Ad),
Akibat menyembah ‘Shamud ‘ dan ‘Al-Hattar’
Kekuatan badan dan kesuburan tanah menjadi kemegahan,
Tanah Al-Ahqaf disiram hujan bala 7 hari tanpa henti,
Memusnah semua apa yang dimiliki.
Umat zaman ini keluarlah dari lenamu,
Jangan ditempah bala yang sama,
Sama seperti umat awwalun,
Jadikan ia sebagai pengajaran,
Bukan sebagai satu ikutan.

No comments:
Post a Comment